Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – MCA enggan memberi apa-apa ulasan berkaitan cadangan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ini kerana menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, pihaknya tidak mempunyai wakil dalam Kabinet bagi mengulas sesuatu yang mana tidak mengambil kira pandangan parti berkenaan.

“Hari ini Tahun Baru Cina, saya selalunya tidak akan ulas apa-apa isu yang berat. Tapi isu berkaitan Kampung Baru Cina yang hendak di jadikan tapak UNESCO ini, apa jua keputusan kami (MCA) tidak ada dalam Kabinet untuk beri sebarang komen.

“Biarlah menteri berkenaan dan Kabinet berikan wisdom terbaik untuk menentukan kebaikan semua di negara ini. Kita juga perlu lihat kemajmukan masyarakat Malaysia. Yang ini saya tidak terlibat dalam apa jua keputusan jadi bagaimana saya boleh komen?

“Buat mereka berkedudukan dan berjawatan untuk bermusyawarah dan berikan pandangan terbaik masing-masing. Bagi saya, apa jua perkara ia mesti mendapat kelulusan kerajaan.

“Saya tidak duduk dalam Kabinet, tidak wajar saya beri komen. Amnya, saya kata ini mungkin cadangan Menteri atau Kabinet saya tidak tahu tetapi apa jua perlu melalui prosesnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan lain pagi ini.

Kor Ming selaku Menteri mewakili DAP dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor dan pada Jun tahun lalu, Kor Ming juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast