Lukman Sheriff.-Foto WAN NABIL NASIR, 05 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam mendakwa keputusan kes membabitkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memberi kesan ke atas umat Islam di Malaysia.

Lukman Sheriff Alias berkata, terdapat salah faham kononnya keputusan kes tersebut dan kes melibatkan individu bernama Iki Putra Mubarak pada 2021 hanya menyentuh isu Perlembagaan.

“Kes Nik Elin dan Iki Putra membatalkan peruntukan jenayah syariah. Kesalahan syariah adalah seperti kesalahan berjudi, minum arak, zina dan sebagainya.

“Kesalahan jenayah syariah selama ini membentuk nilai budaya kita. Kalau jenayah syariah tidak lagi dibenarkan, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada cara hidup muslim.

“Adalah tidak betul mengatakan ia semata-mata isu Perlembagaan dan tidak beri kesan kepada muslim,” kata beliau.

Peguam itu turut membetulkan salah faham kononya terdapat kebaikan jika hak mengubal jenayah syariah diberikan sepenuhnya kepada Persekutuan berbanding dibuat oleh negeri-negeri.

Katanya, pihak yang berpendapat sedemikian perlu sedar mengenai asas Perlembagaan bahawa Persekutuan hanya boleh membuat undang-undang yang terpakai kepada semua tidak kira agama dan bangsa.

Ini kerana undang-undang peringkat Persekutuan tidak boleh melakukan diskriminasi yang mengecualikan mana-mana kumpulan daripada sebarang bentuk hukuman.

“Kalau bukan muslim tidak setuju haramkan meminum arak atau berjudi, Persekutuan tiada hak membuat undang-undang yang menghalang muslim sahaja dari minum arak dan berjudi.

“Sebab itu selama ini, negeri telah dibenarkan di bawah Perlembagaan menggubal undang-undang syariah untuk menghalang muslim sahaja dari minum arak atau berjudi.

“Kalau negeri-negeri tiada lagi kuasa menggubal jenayah syariah maka tiada siapa lagi boleh menghalang muslim dari berjudi atau minum arak,” kata beliau dalam perkongsian di Facebook.

Justeru menurut beliau, adalah penting negeri diberi kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah yang terpakai kepada muslim sahaja dan berpendapat supaya Perlembagaan dipinda bagi tujuan tersebut.

Mahkamah Persekutuan semalam mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara,  Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha yang kedua-duanya merupakan peguam.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan berbeza.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.- MalaysiaGazette