Gambar hiasan.

HULU LANGAT – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap satu video tular pada 8 Februari lalu yang mendakwa seorang bayi autisme berusia 11 bulan didera oleh pengasuh di sebuah taska di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska mendapati mangsa telah terjatuh dari kerusi bayi.

“Pengadu juga menyatakan telah menerima mesej dari individu tidak dikenali selepas daripada kejadian yang telah menghantar beberapa video yang memaparkan perbuatan disyaki penderaan dan pengabaian terhadap mangsa oleh pengasuh di taska tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Zaid, bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Kajang, Selangor untuk pemeriksaan fizikal dan disahkan mengalami kecederaan soft tissue injury over frontal.

Pihaknya telah menerima laporan polis daripada ibu mangsa pada 27 Januari selepas mendapati terdapat kesan lebam pada dahi ketika mengambil anak perempuanya dari taska pada 24 Januari.

Susulan kejadian tersebut cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan ke atas dua perempuan masing-masing berumur 22 tahun yang merupakan pengasuh di taska terlibat.

“Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati negatif bagi kedua-dua saspek serta tiada mempunyai apa-apa rekod lampau.

“Kedua-dua saspek telah diberi jamin setelah keterangan diambil dan siasatan dijalankan,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan telah dijalankan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp. Mohamad Faeez Bin Norzah di talian 013-2773407 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor.- MalaysiaGazette