KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri membuktikan parti itu tidak bertanggungjawab dan ketandusan pelapis.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, ini kerana prestasi Muhyiddin merosot dan banyak salah laku timbul ketika pentadbirannya.
“Semua tahu Muhyiddin adalah Perdana Menteri gagal dalam tempoh 17 bulan pentadbirannya.
“Tiada kejayaan signifikan yang boleh dibanggakan.
“Banyak pelanggaran tata kelola termasuk isu Jana Wibawa dan menantunya masih menghilangkan diri ke luar negara,” katanya menerusi hantarannya di akuan Facebooknya, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muhyiddin masih layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.
Hamzah berkata, Presiden Bersatu itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan meletakkan jawatan selepas ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan.
Puad turut melahirkan rasa hairan apabila rakan komponennya, Pas tidak berusaha untuk mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri PN.
“Pas pula tidak berani pertahankan calon mereka Dr Sam.
“Pas masih memerlukan duit Bersatu. Bersatu ada Jana Wibawa dan dana Wibawa,” katanya. – MalaysiaGazette
Parah ni semakin parah Puad Zakarshi. Bersatu ada Jana Wibawa dan Dana Wibawa katanya. Benda salah ke duit itu? Apasal PDRM tidak tangkap?