Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melakukan lawatan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ke Kuarters Pga ketika di Briged Tengah PGA,Cheras, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa menggunakan maklumat orang awam selepas sekatan jalan raya dihentikan bagi mencari baki tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada  1 Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini seramai 101 daripada 131 Pati yang melarikan diri itu telah ditahan manakala dua tahanan maut dalam kemalangan jalan raya.

“Dari segi operasi sekatan jalan dan radius pencarian telah dihentikan di kawasan lolos.

“Pencarian sekarang dibuat berdasarkan maklumat orang awam, contoh bila jumpa mereka ini pergi ke masjid atau surau, orang kampung akan maklum pada kita (pihak berkuasa) dan kita akan bertindak berdasarkan maklumat tersebut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melakukan lawatan kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, di sini, hari ini.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Menurut Saifuddin, mereka yang ditahan telah ditempatkan di lokasi lain dan perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada depot itu sesuai dijadikan tempat tahanan.

Tambah beliau, siasatan polis turut menjurus kepada dalang utama yang  bertanggungjawab di sebalik insiden tersebut.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, sebanyak 20 pos PGA telah dinaik taraf dengan menggunakan peruntukan RM45 juta yang disediakan kerajaan.

“Hampir kesemua 151 pos selesai dinaiktaraf termasuk 20 pos PGA yang terletak di perairan Selangor sepanjang 337 kilometer,” ujarnya.

Beliau berkata, fokus utama kementeriannya pada ketika ini adalah untuk menaiktaraf serta menambahbaik beberapa kemudahan pihak Polis Diraja Malaysia dan PGA seperti pos PGA dan kuarters kediaman anggota dan pegawai.

Katanya, peruntukan sebanyak RM200 juta turut diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menaik taraf kemudahan beberapa unit kuarters kediaman sedia ada serta  daif. – MalaysiaGazette