Michelle Chai

SHAH ALAM – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membawa masuk pakar psikologi Frederick Tan, dalam usaha meningkatkan lagi kekuatan mental pemain negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadual berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Pengarah Pentadbiran Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai berkata, dengan pelantikan Frederick itu, ia mampu memberi nilai tambah kepada pemain walaupun dibekalkan dengan perkhidmatan psikologi oleh Institut Sukan Negara (ISN).

“Kita memang ada (pakar) psikologi sebelum ini, namun kita bergantung di bawah ISN dan sekarang BAM ada sendiri (pakar psikologi) di mana ia tambahan kepada program RTG (Road To Gold). Kita sentiasa mencari cara untuk memperbaiki (apa yang kurang dalam pasukan negara).

“Pemilihan Frederick ialah berdasarkan pengalaman yang dimilikinya. Jadi dalam empat hingga lima bulan ini, kita akan melipatgandakan usaha untuk membantu barisan pemain negara,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.

Frederick akan memulakan tugas secara sepenuh masa mulai 23 Feb.

Michelle berkata kesejahteraan dan kebajikan pemain juga amat penting, dalam setiap keputusan yang dibuat badan induk itu.

“Setiap pemain reaksi mereka berbeza, kalau kita cakap kita hantar kamu (pemain) pergi China, Jepun atau mana-mana negara pun, sesetengah pemain mungkin terjejas mental mereka kerana berbeza (situasi). Jadi (selain) bincang dengan jurulatih, kita juga bincang dengan pemain.

“Kesihatan mental mereka (pemain) penting. Ada pemain akan cakap mahu cuba, tapi ada pemain mungkin (kata) tidak sesuai. Maksud saya ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan, tetapi ia juga merupakan salah satu daripada perkara yang menjadi perbincangan juga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky berharap Frederick dapat mengadakan pertemuan empat mata bersama barisan pemain yang berada dalam senarai program RTG, bagi merungkai permasalahan yang membelenggu mereka.

Ketika ini beregu lelaki utama negara yang juga juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong berada dalam program RTG.

“Di Olimpik, pelbagai acara, kita perlu selesaikannya… jika kita tidak selesaikan apa yang pemain fikir, apa nak dicapai, apa sahaja latihan yang kita lakukan tidak akan berjaya. Pada 23 Feb, kita akan pastikan Frederick akan duduk dengan semua pemain, untuk mencari apa yang diperlukan.

“… (pemain perlu ada pemikiran) saya mahu bermain di gelanggang ini, saya mahu lakukan dan jadikan impian Malaysia untuk menang emas pertama di Olimpik, tercapai,” kata Rexy.

Difahamkan Frederick pernah berkhidmat bersama jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei  sebelum ini.

Ditanya adakah barisan pemain negara akan dihantar untuk menjalani latihan di luar negara, Rexy memaklumkan beliau perlu mendapatkan persetujuan daripada barisan pemain negara terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. – BERNAMA