BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra telah dibebaskan dengan parol, selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan di sebuah hospital, di sini.
Thaksin, 74, dilihat meninggalkan Police General Hospital pada 6.06 pagi (waktu tempatan) pada Ahad, di mana beliau berada sejak Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadapnya.
Beliau kemudian dilihat tiba di rumah agamnya di sini pada pukul 6.33 pagi (waktu tempatan) dengan sebuah kenderaan bersama anak perempuan bongsunya, Paetongtarn.
Menerusi catatan media sosial, Paetongtarn menulis; “Thaksin telah tiba di rumah, semoga keadaan kesihatan beliau bertambah baik.”
Beliau juga berkongsi gambar dirinya dan Thaksin di dalam kenderaan yang dinaiki. Bekas perdana menteri itu dilihat memakai pendakap leher.
Pada Sabtu, keluarga Thaksin membentangkan sepanduk “selamat pulang” di pintu pagar rumah agamnya di Bangkok.
“Kami telah menunggu begitu lama untuk melihat hari ini,” tulisnya.
Thaksin kembali ke Thailand pada 22 Ogos lepas selepas 15 tahun hidup dalam buangan selepas disabitkan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada hari ketibaannya di Thailand, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepada bekas perdana menteri itu.
Beliau dimasukkan ke Police General Hospital kerana masalah kesihatan beberapa jam selepas malam pertamanya di Penjara Reman Bangkok. Thaksin mengadu sakit dada, tekanan darah tinggi, paras oksigen darah rendah dan insomnia semasa ditahan di wad perubatan penjara.
Pada 1 September, hukuman penjara Thaksin dikurangkan kepada satu tahun melalui pengampunan diraja.
Perdana Menteri, Srettha Thavisin berkata, parol yang diterima Thaksin mematuhi peraturan Jabatan Pemulihan.
Pada Rabu, Menteri Kehakiman Thailand Tawee Sodsong berkata, Thaksin layak untuk dibebaskan awal kerana beliau berada dalam kategori banduan yang menghidap penyakit kronik dan berusia lebih 70 tahun. – Bernama