KUALA LUMPUR – Tiada jalan lain selain bercerai, itu pendirian dan penyelesaian yang dilihat oleh penyanyi, Adira Suhaimi terhadap perkahwinannya dengan Datuk Seri Adnan atau Datuk Red.

Katanya, meskipun tidak mudah namun keputusan tersebut disifatkannya sebagai jalan terbaik untuk perkahwinannya yang telah dibina selama sembilan tahun itu.

“Buat masa sekarang, itu sahaja jalan yang saya nampak (bercerai). Saya percaya pihak suami mahu kami berbaik semula.

“Namun, jalan (penyelesaian) yang saya nampak adalah dengan berpisah (bercerai),” katanya.

Adira berkata demikian ketika ditemui semasa program Zumba With Nora Danish & Elisya Sandha.

Bagaimanapun Adira berkata, sekiranya berpisah beliau tidak akan menghalang suaminya itu untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.

Katanya, perkara yang mustahak buatnya adalah kesemua empat anaknya.

“Apa yang saya tunjukkan dalam media sosial, itulah keadaan diri saya yang sebenar. Saya tidak berpura-pura.

“Penting sebagai ibu kepada empat orang anak, untuk tunjuk yang baik-baik sahaja. Sebagai ibu, saya kena selalu positif untuk anak-anak,” tambahnya.

Oktober lalu, Adira memfailkan perceraian dengan suaminya selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Malah, beberapa tahun lalu, penyanyi itu juga pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia 2 tahun. – MalaysiaGazette