TEMERLOH – Dua lelaki berusia 45 dan 57 tahun ditemukan lemas dalam dua kejadian berasingan di sini hari ini.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hasan berkata, kedua-dua kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang penganggur yang juga pesakit mental dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Ahmad Shah II di Lebuh Raya Pantai Timur 1.
”Mangsa dari Felda Seroja, Jengka 18 telah keluar dari rumah menaiki motoikal Yamaha Lagenda warna merah dan tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu kemudian laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa.
”Adik mangsa telah melihat group WhatsApp masjid kampung mengatakan motosikal yang dinaiki mangsa telah ditinggalkan di jambatan pukul 4 petang pada hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Mazlan, mayat mangsa ditemui pukul 6 petang tadi pada jarak 10 kilometer daripada pusat operasi pencarian.
Sementara itu, dalam kejadian kedua, mangsa dari Felda Bukit Damar pula dikatakan keluar dari rumah pada tengah hari Ahad lalu untuk menangkap ikan dan sejak itu tidak pulang ke rumah.
Keesokan harinya, anak mangsa bersama ahli keluarga telah pergi ke tempat ayahnya selalu mencari ikan dan telah menjumpai motosikal dan selipar milik mangsa.
”Kemudian pengadu cuba mencari di sungai dan dapati bot milik ayahnya telah terbalik di tebing sungai sebelum ke balai buat laporan polis.
”Mayat mangsa ditemui pada jarak lapan kilometer dari jarak pusat operasi pencarian pada pukul 4.12 petang tadi,” katanya lagi.
Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette