Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih mengekalkan aliran belian bersih di Bursa Malaysia pada minggu keempat berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk RM352.9 juta minggu lalu.

Sepanjang minggu, pelabur asing merekodkan belian bersih setiap hari, dengan aliran masuk tertinggi pada hari Selasa pada RM193.0 juta, berikutan pembukaan semula pasaran, menurut MIDF Research.

Sektor yang mempunyai aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM143.6 juta), telekomunikasi & media (RM95.0 juta), dan teknologi (RM61.4 juta).

Manakala sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (-RM29. 0 juta), REITs (-RM19.1 juta), dan pembinaan (-RM16.3 juta).

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi meneruskan aliran jualan bersih ekuiti domestik untuk minggu keempat berturut-turut, berjumlah RM277.5 juta.

Untuk minggu kedua berturut-turut, pelabur runcit kekal konsisten dalam corak jualan bersih ekuiti domestik, dengan jumlah jualan mencecah -RM75.5 juta minggu lepas.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan (+12.1%) dan institusi tempatan (+15.0%), tetapi penurunan dalam kalangan pelabur asing (-11.4%). – MalaysiaGazette