KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas remisier, Peter Chuah Hock Heng atas tuduhan menipu pelabur dan terlibat dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesen.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku antara Februari dan April 2014 di Petaling Jaya, Selangor.
Chuah, 44, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas satu kesalahan di bawah Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu pelabur.
Dia didakwa membuat representasi palsu mengenai skim pelaburan yang dikatakan melibatkan pembelian sekuriti.
Jika sabit kesalahan, Chuah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.
Chuah juga menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) CMSA kerana menyatakan dirinya menjalankan perniagaan dalam urusan sekuriti tanpa lesen.
Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.
Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Chuah menuntut dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan di dua mahkamah berasingan.
Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.
Bagi pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul Darus membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah mengenakan syarat jaminan tambahan yang sama seperti mahkamah sebelumnya.
SC mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melabur dan ketika mempertimbangkan peluang pelaburan. – MalaysiaGazette