TAIPING – Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes lapan banduan Penjara Taiping merusuh hingga menyebabkan tiga warden cedera pada Khamis lalu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada DPP berhubung kes tersebut.
“Setakat ini polis telah memanggil 11 individu yang terlibat dalam kejadian terbabit serta dua saksi untuk memberi keterangan.
“Kertas siasatan yang lengkap telah dirujuk kepada DPP dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media pada Khamis lalu melaporkan, tiga warden Penjara Taiping cedera selepas terlibat dalam pergelutan dengan sekumpulan banduan dalam kejadian pukul 3.30 petang.
Siasatan mendapati provokasi dipercayai menjadi punca banduan dan warden penjara terbabit bertengkar sebelum berlaku pergelutan.
Warden penjara yang berusia 27, 41 dan 48 tahun itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping manakala semua banduan terlibat tidak cedera. – MalaysiaGazette