PUTRAJAYA – Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan pada hari ini tidak akan mengongkong dan menyekat kebebasan bersuara media sebaliknya satu garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas.
Sebaliknya, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kod ini telah diwujudkan pada tahun 1989 tetapi telah ditambah baik untuk menyesuaikan landskap dan keperluan semasa industri kewartawan pada masa ini yang seiring dengan perkembangan teknologi.
Sebanyak lapan kod etika yang digariskan antaranya adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti dan wartawan juga digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Kod itu termasuk pemahaman undang-undang dalam kalangan wartawan, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Pemberitaan juga tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
“Kod Etika Wartawan versi baharu itu telah dimurnikan dengan penglibatan wakil wartawan serta organisasi media, dan mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.
“Namun demikian, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam,” katanya.
JaPen dalam kenyataan sempena pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia berkata, kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen.
Fahmi berkata, setakat 16 Februari lalu, sebanyak 9,750 pengamal media berdaftar dengan kad perakuan media JaPen, membabitkan 152 agensi media.
Daripada jumlah agensi, sebanyak empat media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.
Fahmi menegaskan, penyebaran fitnah yang lebih laju pada masa kini perlu ditangani melalui pemberitaan tepat yang dijadikan rujukan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat juga perlu bijak menilai dan menapis maklumat yang diterima sebelum mempercayainya. – MalaysiaGazette