Afad Raihan bersyukur kerana diberi peluang nikmat hidup kedua hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Afad meluahkan rasa syukur kerana telah disahkan pulih sepenuhnya selepas dua tahun lumpuh sebelah badan akibat diserang angin ahmar

Penyanyi nasyid solo itu menganggap ujian yang menimpa dirinya sebagai satu hikmah yang sukar untuk diucapkan.

Dia bagaimanapun mengakui sehingga kini dia masih mendapatkan rawatan alternatif bagi memulihkan sepenuhnya fungsi anggota badannya.

“Doktor mengesahkan saya kini pulih sepenuhnya cuma ada kalanya, bahagian belah kanan masih lagi berasa kebas namun saya anggap ia menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Namun sehingga sekarang saya masih meneruskan perubatan alternatif seperti akupuntur dan alhamdulillah nampak kesan positif selain kena jaga pemakanan dan istiqamah.

“Selama dua tahun ini sangat banyak nikmat yang Allah berikan dan terima kasih kepada kawan-kawan yang sentiasa mendoakan dan mengambil berat akan diri saya,” katanya yang kini aktif bergerak secara solo.

Afad (kiri) pernah menganggotai kumpulan Raihan pada 2006 selama 10 tahun

Pada akhir November 2021, kehidupan Afad berubah sekelip mata selepas diserang strok gara-gara pendarahan di otak dan lumpuh separuh badan selama empat bulan.

Namun berkat doa semua pihak terutama kedua ibu bapanya, Afad atau sebenarnya Zulfadli Mustaza pulih secara perlahan walaupun pergerakannya agak terhad.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga orang anak yang pernah menganggotai kumpulan Raihan pada 2006 selama 10 tahun berkongsi pengalamannya diberi nikmat hidup kedua hari ini.

Dia mengakui kesukaran bertutur untuk membaca al-Quran dan hanya mampu berdoanya agar diberi kemudahan untuk membaca surah Al-Fatihah.

“Sebelum ini saya tidak boleh bertutur dan hendak keluarkan perkataan pun lambat. Cuma bila bercakap saya masih perlu menyusun ayat dan ada juga lagu yang perlukan lirik untuk menyanyi.

“Sewaktu mula-mula saya sakit, saya selalu berdoa dan memohon kepada Allah agar izinkan saya untuk dapat membaca Al-Fatihah semula kerana itu rukun dalam solat,” katanya sambil menasihati golongan muda agar mementingkan Kesihatan mereka.

Sementara itu, Afad terharu apabila nikmat kesihatannya itu membolehkan dia membuat persembahan sepanjang Ramadan bulan depan di Mercure Living Putrajaya sempena Bazaar Madani.

Katanya, peluang itu akan digunakan bukan menyanyi semata-mata namun menerapkan unsur dakwah dengan bacaan ayat suci Al-Quran, solat tarawih dan persembahan lagu berunsur ketuhanan selain tazkirah.

“Persembahan saya akan bermula 15 Mac dan ia bukan sekadar nyanyian kerana saya sendiri akan menjadi imam dan mengalunkan bacaan Al-Quran.

“Namun persembahan selama 45 minit akan diselangi tazkirah, kuliah tujuh minit dan penyampaian dakwah di mana pengunjung bukan sahaja datang untuk berbuka puasa namun akan pulang dengan ilmu,” katanya yang muncul bersama kumpulan nasyid Hijjaz dan penyanyi muda, Azzam Shah. – MalaysiaGazette

Afad Raihan akan membuat persembahan sepanjang Ramadan bulan depan di Mercure Living Putrajaya sempena Bazaar Madani.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast