Sebahagian PATI yang diberkas dalam serbuan tergempar di kilang logam di Pelabuhan Klang oleh pasukan ATIPSOM Bukit Aman petang hari ini.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) membuat laluan rahsia pada dinding di sisi bangunan kilang ke kilang menghubungkan kawasan semak supaya senang meloloskan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, strategi itu ‘makan tuan’ apabila kilang yang terletak di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini digempur Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Op Bersepadu Pintas bersama beberapa agensi berkaitan.

Akhirnya, 62 PATI terdiri warga China, Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Nepal dan Vietnam termasuk tujuh wanita berusia antara 20 hingga 40-an dicekup hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan bermula kira-kira jam 2.30 petang ketika puluhan warga asing sedang khusyuk bekerja di kilang yang memproses barangan logam dan plastik.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada  PATI termasuk wanita melarikan diri lebih 200 meter menggunakan laluan rahsia itu sebelum dikesan bersembunyi dalam semak yang terletak berhampiran kilang tersebut.

“Kita melaksanakan operasi ini berdasarkan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pasukan polis mengenai PATI di kawasan tersebut.

“Dalam operasi sama, kita berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing selepas disyaki menjadi mangsa pemerdagangan di kilang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebahagian PATI yang diberkas dalam serbuan tergempar di kilang logam di Pelabuhan Klang oleh pasukan ATIPSOM Bukit Aman petang hari ini.

Soffian berkata, lorong rahsia yang dibuat oleh PATI berdekatan kawasan longkang,  dilengkapi dengan laluan khas yang menghubungkan dua bangunan kilang tersebut.

Premis kilang yang mempunyai kawalan kamera litar tertutup (CCTV) itu turut dilengkapi beberapa fasiliti bilik yang dijadikan asrama pekerja asing.

Seorang PATI Indonesia berusia 21 tahun yang diselamatkan polis selepas disyaki dijadikan mangsa pemerdagangan selepas mendakwa dia dipaksa bekerja selama 12 jam dengan bayaran RM75 sehari.

Soffian dalam pada itu menambah, kesemua tangkapan serta mangsa pemerdagangan yang diselamatkan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut turut diteruskan oleh PDRM mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007 membabitkan tiga mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan di kilang itu.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut,” ujarnya.-MalaysiaGazette