Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan untuk menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam kerana ramai dalam kalangan mereka tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan tidak mahu lengah-lengahkan lagi pelaksanaannya.

Justeru, katanya, CUEPACS berharap komitmen yang dinyatakan oleh perdana menteri mampu ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan.

Dalam pada itu, CUEPACS merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyalurkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam pada hari ini.

Bayaran insentif awal itu disalurkan kerajaan sementara menunggu Kajian SSPA dimuktamadkan.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, kenyataan mengenai kajian kerajaan terhadap SSPA akan dibuat tidak lama lagi.

Kenyataan itu akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Pada 20 Januari lalu,, Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, Laporan Interim 1 Kajian Semula SSPA telah diserahkan kepada perdana menteri pada 19 Januari.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lepas, Anwar berkata, pelaksanaan penuh SSPA akan bermula pada 2025, susulan kajian menyeluruh.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pemberian insentif tersebut sudah tentu memberikan kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan.

“Minggu sesi pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan yang serentak sudah pasti menimbulkan kegusaran mengenai kos perbelanjaan yang dijangka lebih tinggi.

“Sudah pasti ramai yang tidak sempat untuk membuat simpanan yang mencukupi apatah lagi pada bulan berikutnya Aidilfitri turut akan disambut. CUEPACS menasihatkan penjawat awam untuk berbelanja berhemah dengan mengutamakan keperluan yang sepatutnya.

“Jumlah tersebut jika kita lihat memberi sedikit kelegaan bagi perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan dan persiapan Ramadan. Berbelanjalah mengikut bentuk acuan perbelanjaan masing-masing dan janganlah dalam bentuk acuan yang tidak dimampui kerana kita sendiri yang akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA diterima hari ini.

Penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima RM2,000 dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam. Pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen juga akan menerima RM1,000 pada tarikh yang sama. – MalaysiaGazette