Sutekno menyantuni orang ramai pada Program Walkabout Perdana sempena Hari Antidadah 2024 di Pantai Puteri, Melaka hari ini.

MELAKA – Sebanyak 16 kawasan berisiko tinggi (KBT) penagih dadah disasar menjadi kepada kawasan berisiko rendah (KBR) tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, ia sebahagian usaha untuk menurunkan unjuran tahap keparahan penagihan dadah di seluruh negara.

“Unjuran itu menetapkan kes dapat diturunkan daripada 437 kepada 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2025.

“Sasaran ini juga rentetan daripada kejayaan kita apabila sebanyak 77 KBT bertukar kepada KBR sekal gus mencapai status hijau tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada Program Walkabout Perdana sempena Hari Antidadah 2024 di Pantai Puteri di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Sementara itu Sutekno berkata, seramai satu juta ahli Skuad AADK terutama dalam kalangan belia disasarkan tahun ini.

“Setakat ini, kita telah menarik lebih 150,000 penyertaan usaha terus dipergiatkan untuk menarik keahlian terutamanya golongan pelajar di semua peringkat pendidikan.

“Sukarelawan ini juga berperanan dalam membantu program Pemulihan Dalam Komuniti yang mana 90 peratus klien AADK tinggal di rumah masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette