Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan sentimen positif yang berterusan, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen positif dalam pasaran minyak sawit dijangka terus meningkat pada minggu akan datang, berdasarkan jangkaan pengeluaran yang rendah berikutan peserta pasaran menunggu data pengeluaran yang terkini.

“Kami menjangka ia diniagakan antara RM3,800 satu tan dan RM4,000 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sebaliknya, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh menjangka terdapat aktiviti pengambilan untung minggu depan berdasarkan prestasi semasa ringgit berbanding dolar AS.

“Bagi simpanan stok, terdapat banyak stok minyak sawit dalam pasaran di Malaysia dan Indonesia, justeru tiada perkara mendesak mengenainya,” katanya sambil menambah MSM dijangka diniagakan antara RM3,500 satu tan dan RM3,600 satu tan minggu depan.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur berikutan data eksport yang rendah disebabkan kebimbangan mengenai pengeluaran dan belian bermusim.

Eksport produk minyak sawit Malaysia untuk 1-20 Feb merosot kepada 676,949 tan berbanding 828,910 tan dalam tempoh sama pada Januari, turun 151,961 tan atau 18.3 peratus, menurut data juruukur kargo.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta Mac 2024 meningkat RM59 kepada RM3,969 satu tan, April 2024 menambah RM47 kepada RM3,904 satu tan dan Mei 2024 naik RM44 kepada RM3,853 satu tan.

Jun 2024 meningkat RM49 kepada RM3,794 satu tan serta Julai 2024 dan Ogos 2024, masing-masing naik RM46 kepada RM3,736 dan RM3,689 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 318,995 lot daripada 272,517 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 234,976 kontrak daripada 227,927 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan sebanyak RM4,020 satu tan, naik RM40 daripada RM3,980 satu tan minggu lepas.- BERNAMA