KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dan menahan ahli sindiket disyaki membuat kenyataan palsu berhubung pendaftaran buruh asing selain pemalsuan dokumen permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 mendapat pujian Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim yang sebelum ini mendedahkan lebih 500 pekerja asing didakwa telah ditipu kartel majikan dan ejen yang didalangi warga asing melalui program rekalibrasi sejak dua tahun ini.
Beliau berharap perkara ini akan ditumpaskan sekaligus bagi memastikan inisiatif RTK 2.0 oleh kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Tahniah kita ucap kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, semoga akan ada lebih banyak serbuan dan tangkapan selain didakwa supaya perkara seumpama ini tidak ada lagi dilakukan.
”Segelintir sindiket atau dalang besar kepala kerana rasa diri sangat kebal dan terus melakukan penganiyaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hishamuddin mengulas laporan berita JIM Kuala Lumpur telah menahan seorang wanita dan lelaki tempatan itu disyaki memalsukan dokumen bagi permohonan RTK 2.0.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yoosuf cubaan dapat dihidu oleh pegawai Pasukan Kerja RTK 2.0 sewaktu semakan dokumen dijalankan sebelum kelulusan kuota diberikan oleh Bahagian Pekerja Asing JIM KL.
“Syarikat berkenaan menjalankan aktiviti pertanian disyaki mengemukakan dokumen geran tanah palsu bagi mendapatkan kelulusan kuota,” katanya semalam.
Sebelum ini MHO mendedahkan wujudnya kartel majikan warga asing yang menggunakan maklumat proksi atau isteri mereka yang juga warga tempatan bagi menubuhkan sebuah syarikat untuk menyamar sebagai majikan bagi menguruskan program RTK. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: