KUALA SELANGOR – Kerajaan bakal memuktamadkan sistem persaraan penjawat awam, termasuk menaikkan kadar bayaran kakitangannya yang masih tertangguh sejak 10 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Tugas penjawat awam penting. Kalau inilah prestasi mereka dari peringkat tinggi hingga rendah, maka tiada sebab mengapa kita tak boleh kaji sistem saraan tahun ini.
“Walaupun berdepan kekangan kewangan dan masalah ekonomi, kerajaan harus mencari jalan sebab lebih 10 tahun tiada perubahan dari segi kajian semula,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. – MalaysiaGazette