Noh Omar

KUALA SELANGOR – Cadangan pembinaan jejambat merentasi Sungai Tengi di pekan Tanjong Karang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sebenarnya sudah lama diusulkan bekas ahli Parlimennya, Tan Sri Noh Omar.

Ia sudah dicadangan sebelum 2018 lagi.

Noh berkata, dakwaan kononnya beliau takut membina prasarana itu atas alasan pekan Tanjong Karang itu menjadi sepi sebenarnya tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya beliau berkata, kesesakan lalu lintas di pekan Tanjong Karang ketika berpunca daripada kelewatan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“Cadangan saya dahulu supaya orang tetap lalu Tanjong Karang, bila dia lalu flyover (jejambat) dia akan lalu pekan Tanjong Karang.

“Cadangan asal bina flyover sampai di Batu 7 lepas itu keluarnya selepas Hospital Baharu Tanjong Karang.

“Itulah puncanya, bukannya kerana saya takut Tanjong Karang sepi kalau buat flyover, kita yang minta buat supaya Tanjong Karang tidak sepi,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mendakwa pemimpin terdahulu di kawasan itu enggan membina jejambat dengan alasan khuatir pekan itu menjadi sepi.

Menurut Dr Zulkafperi, ketiadaan jejambat itu menyebabkan saban hari penduduk tempatan berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk khususnya waktu puncak dan hujung minggu.

Noh juga menyifatkan kenyataan Zulkafperi itu sebagai melucukan kerana tuduhan yang dilemparkan terhadap dibuat tanpa usul periksa.

“Ini satu contoh yang melucukan bila ahli Parlimen Tanjong Karang, datang dari luar (orang luar) tak tahu sejarah Tanjong Karang, nak cakap lebih di tempat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kelewatan WCE hingga menyebabkan kesesakan itu berpunca selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018 dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu menggunakan laluan asal projek lebuh raya itu.

“Pada masa itu, bila WCE nak buat lebuh raya di Tanjong Karang ini, saya lihat ada dua perkara yang patut diberikan perhatian.

“Nak buat WCE masuk tanah kampung Melayu, tiga kampung akan terbelah dua iaitu Kampung Sungai Gulang-Gulang, Parit Serong dan Kampung Dato Ahmad Razali.

“Sebagai pemimpin pada waktu itu, saya bimbang kalau WCE dibuat guna laluan asal, dia akan bypass pekan Tanjong Karang.

“Sebab dia akan keluar di Batu 9, ini bermakna nanti pergi ke belah utara, mereka tidak akan lalu pekan Tanjong Karang dan saya bimbang pekan Tanjong Karang akan menjadi sepi,” katanya.

Noh turut kesal apabila beliau disindir Dr Dzulkifli kerana gagal berfungsi sebagai wakil rakyat sebelum ini termasuk dalam menangani isu banjir.

“Dulu pekan Tanjong Karang memang banjirlah, kita terpaksa pindahkan penduduk-penduduk di Jalan Bomba, berpuluh rumah kita pindahkan, kita bagi penempatan baharu kerana kita nak buat laluan supaya pekan Tanjong Karang tak banjir.

“Kalau dia mengatakan saya tak buat kerja, itu maksud dia, macam saya tak turun buat kerja.

“Saya nak beritahu ahli Parlimen Tanjong Karang ini, jangan pasal pembangunan, teori bolehlah tetapi kita nak tengok dari segi praktikal,” katanya.

Noh turut meluahkan rasa kesal dengan Dzulkifli yang gagal menghadiri satu program kerajaan di Parlimen Tanjong Karang baru-baru ini sedangkan beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya amat kecewa dan rasa malu sebagai orang Tanjong Karang, bagaimana seorang ahli Parlimen tidak menghadiri satu program yang dibuat oleh kerajaan.

“Dua hari lepas, Program Penyerahan Klinik Pergigian Tanjong Karang yang baharu, kalau ikut program asal, saya lihat dua menteri datang, Menteri Kerja Raya dan Menteri Kesihatan.

“Tapi saya lihat yang hadir ialah Menteri Kesihatan dan KKR diwakili Timbalan Ketua Pengarah.

“Bayangkan, sebagai ahli Parlimen tambah pula sekarang sudah menyokong Kerajaan Madani, ini menteri datanglah,” katanya.

Noh berkata walaupun sebelum ini pernah menjadi ahli Parlimen pembangkang selama 22 bulan namun beliau tetap turun padang hadir ke program anjuran kerajaan.

“Saya pernah jadi menteri dan saya lama duduk di sini, kalau saya jadi menteri, boleh turun ke kawasan Parlimen, ahli Parlimen mesti hadir.

“Begitu juga bila menteri datang walaupun pembangkang malah saya dulu pernah jadi pembangkang, Ronald Kiandee Menteri Pertanian turun ke Tanjong Karang, saya datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas MP Tanjong Karang didakwa sengaja tak bina ‘flyover’ – Zulkafperi