Faisal Halim (kanan). Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Jaringan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim diangkat sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 apabila mendapat undian tertinggi sebanyak 85 peratus.

Kemenangan itu sudah dijangka memandangkan jaringan itu mendahului undian sejak awal ia dibuka dan menjadi pilihan di laman media sosial.

Faisal jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.

Apa yang menarik, ketiga-tiga jaringan terbaik yang menjadi pilihan penyokong itu hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan sama – Kumpulan E.

Selain Faisal, Al Tamari dan Heung Min, lima lagi pemain turut tercalon untuk anugerah terbabit – Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar), Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran).

Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang ‘terduduk’ sebelum meledak gol pertama Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast