KPKT
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Seramai 40 Ahli Parlimen DAP menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memperkukuh kestabilan politik bagi mewujudkan Malaysia Madani yang harmoni, bersatu, makmur dan sejahtera.

Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming turut menyeru semua 222 ahli Parlimen supaya menunjukkan teladan yang baik.

“Selain menjaga martabat dan darjat Parlimen, ahli Parlimen harus bersikap profesional untuk mengekalkan kestabilan politik negara supaya kerajaan boleh menumpukan segala perhatian dan usaha kepada pentadbiran serta pelaksanaan dasar bagi menpergiat ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Sultan Ibrahim telah memberi isyarat jelas dengan baginda tidak akan melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Beliau berkata, ini sekali gus menunjukkan keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap masa depan negara dan keazaman Seri Paduka Baginda untuk memelihara Institusi Raja Berperlembagaan serta Demokrasi Berparlimen yang merupakan sistem pemerintahan Malaysia.

“Titah Seri Paduka Baginda telah memperkukuh kestabilan negara dalam tempoh lima tahun yang akan datang dan ini akan membantu usaha kerajaan untuk memulihkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing serta ekonomi negara.

“Malaysia kini telah naik lima tangga kepada kedudukan ke-27 dalam ekonomi paling kompetitif di dunia, kedudukan negara akan mencapai kedudukan yang lebih tinggi pada masa depan jika kestabilan politik dapat dikekalkan untuk satu tempoh yang lebih lama,” katanya.

Terdahulu, pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat serta pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, hutang negara serta kestabilan politik. – MalaysiaGazette