KUALA LUMPUR – Pas tidak akan jemu membuka pintu perpaduan ummah, kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
“Pas tidak akan jemu-jemu membuka pintu untuk perpaduan Ummah, jika Presiden UMNO merasakan berbaloi untuk terus berada bersama dengan Pakatan Harapan, teruskanlah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fadhli berkata demikian mengulas kenyataa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan saranan Pas supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.
“Kami tidak fikir mereka ikhlas dalam buat tawaran itu kerana yang keluar dari MN bukan UMNO tetapi mereka.
“Mereka menikam kami dari belakang, mereka lakukan kerenah melebihi daripada apa yang kita setujukan.
“Saya tidak rasa mereka ikhlas dalam buat tawaran itu,” katanya dalam satu acara semalam.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata, UMNO juga tidak ikhlas apabila berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan mengadakan rundingan secara gelap bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ramai yang masih ingat helaian kertas A4 yang tidak sempat bertandatangan mengandungi perakuan ini yang tidak pernah dinafikan oleh Presiden UMNO.
“Jika ingin bercakap soal keikhlasan, ikhlaskah presiden UMNO apabila berdegar-degar menyebut di dalam Perhimpunan Agung tidak akan sama sekali menyokong Anwar Ibrahim dan juga DAP tetapi akhirnya memungkirinya selepas pilihan raya walaupun ada pilihan lain yang boleh diambil,” katanya. – MalaysiaGazette