KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) tidak berkompromi dan melindungi jurulatih, atlet atau pegawai yang terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.
MSN dalam kenyataan media hari ini, menegaskan bersedia mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta merta jika ada yang didapati bersalah.
MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan ketika ini juga sedang menjalankan siasatan dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaan beliau yang dilaporkan di media masa.
“Pegawai Pelindung Sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat juga sudah mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan siasatan berkenaan.
“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasa sudah memulakan siasatan dengan segera termasuk menemubual pihak yang berkaitan.
“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terbabit,” menurut kenyataan MSN.
Selain itu, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetus sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.
MSN turut menjelaskan tidak pernah menerima laporan atau aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu itu.
“Dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.
“MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN.
“Langkah komprehensif menjaga keselamatan dan kebajikan atlet para di bawah program MSN turut dititik beratkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet yang bertanding dalam pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu,” tambah kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette