Dr Muhamad Akmal

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap tidak memperjudikan kesihatan rakyat apabila Skim Perubatan Madani (SPM) yang sebelum ini ditawarkan di klinik swasta seluruh negara kini dihadkan kepada hanya 10 daerah sahaja.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh  terkejut dan sedih apabila menerima e-mel daripada ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) petang semalam memaklumkan penamatan skim itu di beberapa negeri berkuat kuasa serta merta.

Kini, skim itu hanya terdapat di 10 daerah di tujuh negeri iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang, Johor Bahru, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

“Ini tidak merangkumi Melaka, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang sedangkan skim ini amat berkesan untuk golongan yang tak berkemampuan sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di klinik kerajaan.

“Saya mohon kerajaan terutama Perdana Menteri utuk melihat isu ini kerana saya percaya kesihatan rakyat adalah isu yang tak boleh kita perjudikan atau bertolak ansur,” katanya
menerusi rakaman video akaun TikTok rasminya.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang turut memiliki klinik di Melaka berkata, sejak skim itu dilancarkan tahun lalu, ia telah memberi manfaat kepada 700,000 pesakit memerlukan di seluruh negara.

“Jadi tentulah ia amat terkesan jika kita hentikannya tanpa notis dan juga pemberitahuan awal.

“Saya mohon Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri agar SPM ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya sehingga (akhir) 2024.

“Kalau tak cukup bajet YAB, kita kurangkan pun tak apa, tiada masalah tapi biarlah skim ini boleh digunakan di peringkat bawah oleh rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya lagi.

Sebelum ini beberapa klinik swasta yang pernah menyertai Skim Perubatan Madani memuat naik notis penghentian skim berkenaan menerusi media sosial masing-masing.

Penamatan kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah itu kemudian telah mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Jelas ProtectHealth, langkah tersebut penting untuk keberkesanan pelaksanaan skim berkenaan mencapai objektif utama dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu. – MalaysiaGazette