NV. Subbarow

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengkaji semula penamatan pelaksanaan Skim Perubatan Madani (SPM) yang berkuat kuasa serta-merta semalam.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV. Subbarow berkata, tidak wajar untuk kerajaan memilih 10 daerah sahaja bagi pelaksanaan skim tersebut susulan pemberian rawatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh.

“Ini satu berita yang mengejutkan (penamatan SPM serta-merta) kerana kita semua sedia maklum semakin hari peratusan rakyat Malaysia menghidap penyakit tertentu seperti diabetes, darah tinggi serta jantung kian meningkat dan apabila SPM ditamatkan ia akan menimbulkan kesesakan di klinik-klinik kerajaan.

“Kita tahu klinik dan hospital kerajaan mampu tampung jumlah pesakit yang banyak cuma kita minta kerajaan lihat dari segi bebanan dan masa seseorang doktor peruntukan untuk menemui pesakit.

“Contohnya jika pergi klinik kerajaan perlu menunggu lama namun konsulatasi bersama doktor hanya lima minit, mungkin ramai akan elak mendapatkan rawatan dan ini merisikokan negara kerana perlu menampung rakyat berpenyakit termasuk kos ubati sakit itu lebih banyak berbanding diberikan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Subbarow, tindakan penamatan serta-merta ini juga akan menimbulkan bebanan kepada doktor kerajaan susulan SPM menunjukkan penurunan mendadak pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital-hospital kerajaan apabila mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran.

“Bukan semua orang mampu membeli perlindungan insurans untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Sehubungan itu, kita harap kerajaan mengkaji semula penamatan SPM yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini tambahan mereka yang terdiri dalam golongan B40,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

Skim Perubatan Madani terhad di 10 kawasan, penerima tertentu sahaja

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, berkuat kuasa semalam, 26 Februari 2023, Skim Perubatan Madani akan diperhalusi untuk memberi tumpuan kepada daerah-daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim ini.

Pelaksanaan perubahan utama kepada program ini akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) berkata, dengan perubahan tersebut, kelayakan penerima Skim Perubatan Madani ini akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah ini sahaja dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh menggunakan sehingga peruntukan skim ini digunakan sepenuhnya.

Klinik swasta Skim Perubatan Madani yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan skim ini, katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette