Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man telah menegaskan pendirian partinya tidak akan bersama Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ternyata kecewa dengan kerajaan Malaysia Madani yang tidak menunaikan janji mereka untuk melakukan reformasi pentadbiran, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Timbalan Presiden Pas itu lagi, BERSIH yang pernah menyokong Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu juga telah melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Banyak janji-janji telah dibuat (kerajaan Malaysia Madani) tidak ditunaikan dan bagi kita ini merupakan satu reaksi segera daripada pelbagai pihak terhadap apa yang kita nyatakan dalam Dewan rakyat dan Dewan Negara.

“Sepatutnya kerajaan beri fokus kepada melakukan penambahbaikan sebagaimana yang janjikan sebelum ini,” katanya mengulas mengenai Himpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan di pekarangan Parlimen pagi tadi.

Himpunan seawal 9 pagi itu antaranya menuntut pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus khususnya dalan sistem pilihan raya dan institusi utama, tolak DNAA terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa dan menolak undang-undang dua darjat.

Dalam pada itu, pembangkang katanya turut kecewa dengan kerajaan yang didakwa gagal menunaikan janji untuk memberikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu.

“Sepatutnya penambahbaikan dibuat terhadap janji-janji yang telah tidak menunaikan minyak Kelantan dan Terengganu.

“Ini merupakan isu yang belum selesai dan bagi kita termasuk peruntukan kepada ahli-ahli pembangkang mestilah laksanakan dan pemberian dana politik mesti juga di angkat sebagai isu yang perlu di selesaikan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette