Manuel Hidalgo.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT secara rasminya menandatangani pemain import baharu mereka untuk saingan hadapan dari Argentina iaitu Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, bekas pemain import Kedah Darul Aman, Hidalgo tidak akan beraksi bersama Harimau Selatan pada saingan akan datang apabila dia bakal dipinjamkan kepada Sri Pahang FC.

Selain Hidalgo, pasukan tersebut juga turut menyatakan Azam Azmi Murad, Declan Lambert dan Ryan Lambert selaku rekrut terbaharu kelab itu pada saingan hadapan.

Walaupun begitu, Azam dan Declan masing-masing bakal dipinjamkan kepada Terengganu Fc (TFC) dan Kuala Lumpur City (KL City) sementara Ryan masih belum diketahui hala tujunya.

Perkembangan itu diumumkan  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT iaitu Alistair Edwards di media rasmi Johor Southern Tigers (JST).

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menandatangani Azam Azmi, Manuel Hidalgo, Declan Lambert dan Ryan Lambert. Kami juga dalam perbincangan untuk menandatangani seorang penjaga gol.

“Azam dan Declan masing-masing telah dipinjamkan semula ke Terengganu dan Kuala Lumpur manakala Hidalgo akan dipinjamkan ke Pahang.

“Sementara itu Ryan akan berlatih dengan pasukan utama Harimau Selatan, dan sama ada akan dipinjamkan juga atau diserap ke dalam skuad JDT 2024-25,” jelas Alistair.

Penyertaan Hidalgo bersama Sri Pahang bakal menggamit memori kembali apabila dia memulakan karier di Malaysia suatu ketika bersama kelab tersebut.

Kehadiran pemain sayap itu juga dilihat mampu untuk memperkukuhkan lagi aspek serangan Sri Pahang yang sebelum ini menandatangani khidmat Mykola Ahapov selaku penyerang import baharu pasukan itu.

Selain itu, Azam dijangka bakal terus menjadi percaturan penting buat TFC bawah kendalian Tomislav Steinbruckner selepas kelibat dia berjaya meninggalkan impak positif buat Sang Penyu di posisi pertahanan selain Declan pula menjadi antara nadi utama KL City sebelum ini. – MalaysiaGazette