Reaksi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dilepas dan dibebaskan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima suapan RM232.5 juta di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan yang merayu keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta sebelum ini.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengembalikan kes rasuah melibatkan bekas perdana menteri itu dibicara kembali ke mahkamah sesyen.

Ketika membaca keputusan tersebut, kata Hadhariah, mahkamah tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin.

“Kita menerima hujah pendakwaan bahawa pertuduhan itu tidak cacat, pada pandangan kami, empat pertuduhan itu adalah jelas. Tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut bagaimana kesalahan itu dilakukan.

“Kita benarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan arahan Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin tertuduh dan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen,” katanya yang turut bersidang sekali dengan Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Pada Ogos tahun lalu, mahkamah tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan semua tuduhan tersebut.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Muhyiddin  didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Pengerusi PN berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta. -MalaysiaGazette