Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

MELAKA – Reman enam suspek terlibat sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai menjadikan Pantai Klebang sebagai transit, disambung tujuh hari lagi, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

“Sambung reman terhadap keenam-enam suspek berumur 40 dan 74 tahun itu bermula semalam hingga 4 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam suspek terbabit ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada 21 Februari lepas bersama rampasan dadah bernilai RM4.02 juta dan ditahan reman selama tujuh hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dilaporkan berkata, dalam serbuan pertama, suspek ditahan di kawasan Kota Syahbandar ketika sedang memindahkan dadah ke dalam sebuah kenderaan lain dan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 51.95 kilogram (kg) dan serbuk ekstasi seberat 31.45 kg bernilai RM4.02 juta.

Beliau dilaporkan berkata dalam serbuan kedua pula, polis menahan tiga suspek di Simpang Renggam, Johor, manakala dua suspek lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang pada serbuan ketiga. – Bernama