Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) merupakan platform terbaik untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan sebelum ini dan bukannya menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, ini kerana objektif utama kongres itu untuk menstrukturkan semula penyertaan bumiputera lebih telus dalam  ekonomi negara.

“Kita tak ganti apa-apa. DEB tetap DEB tapi kongres ini transformasi semula untuk melihat apa kejayaan yang telah kita capai termasuk penubuhan-penubuhan agensi kerajaan daripada KEB siri 1 dan 2 sebelum ini.

“Kongres Ekonomi Bumiputera ini untuk kita ukur semula kejayaan juga menilai di mana kita gagal, apa kelemahan kita apa yang perlu kita baiki.

“Transformasi melalui enam tekad, baiki kelemahan di peringkat pelaksanaan. Kita perbetul semula ekonomi negara,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Ia dianjurkan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar menambah, penganjuran KEB 2024 tepat pada masanya kerana ekonomi dunia ketika berada dalam keadaan tidak menentu.

“Jadi kita tidak boleh hidup dalam keadaan statik. Kita buat kajian-kajian untuk lonjak semula ekonomi negara.

“Kita hendak struktur semula penyertaan bumiputera dalam kek ekonomi yang boleh dibesarkan lagi,” kata Mohamad.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan KEB 2024 ini adalah satu kaedah untuk membesarkan kek ekonomi dan bukannya berpecah-pecah ataupun kecilkan kek ekonomi.

“Dapatlah menstrukturkan semula ekonomi bumiputera lama yang sedia ada dan da kepincangan-kepincangan dari segi pelaksanaan, kita tidak mahu kepincangan ini berulang semula.

“Jadi tujuan KEB menstruktur semula masyarakat dengan lebih telus dan lebih terbuka merentasi kaum dan kelompok terutamanya kaum-kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette