KUALA LUMPUR – Permohonan UPUOnline bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) bagi sesi akademik 2024/2025 dibuka hari ini sehingga 29 Mac 2024 bagi permohonan fasa pertama.

Manakala fasa kedua pada 29 April hingga 9 Jun 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam maklumannya berkata, permohonan terbuka untuk pelajar Lepasan SPM dan STPM/Setaraf bagi semua program pengajian untuk permohonan fasa pertama, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau ujian dibuka untuk permohonan fasa kedua.

Pembelian Nombor Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan perbankan Internet myBSN.

BSN akan mengeluarkan nombor pin berserta salinan resit pembayaran. Pemohon juga diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian.

Semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Terdapat sebanyak 503 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,111 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® tersebut boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat berikut:-

Bahagian Kemasukan Pelajar Ipta
Jabatan Pendidikan Tinggi
Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya – MalaysiaGazette