Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Penutupan Kongress Ekonomi Bumiputera (KED) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 02 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sikap sinis dan bimbang terhadap pengajuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang bermula Khamis lalu.

Menurut Anwar, pihak yang bimbang mengenai dasar yang membantu bumiputera tidak melihat kenyataan majoriti kaum itu masih dalam kemiskinan.

“Bila kita bicara Kongres Ekonomi Bumiputera ada yang bimbang takut kita mengulangi beberapa kesilapan untuk memenuhi tembolok golongan kecil. Kita harus pastikan ia tidak berlaku.

“Ada kalangan termasuk sebahagian kecil bukan bumiputera yang bimbang dan sinis mengapa dasar membantu bumiputera dan kongres diteruskan. Mereka tidak lihat kenyataan jumlah besar bumiputera di Semenajung, Sabah dan Sarawak masih dalam kategori miskin,” kata Anwar.

Bercakap pada Majlis Penutup KEB 2024 hari ini, Perdana Menteri juga menolak tanggapan bahawa beberapa dasar berkaitan pembasmian kemiskinan seolah-olah memberi manfaat hanya kepada satu kaum.

Beliau berkata, dasar yang diteruskan adalah telus dan berdasarkan penilaian kelayakan masing-masing.

“Kesenjangan antara golongan kaya bumiputera dengan miskin kian melebar ketimbang tahun 1971.

“Kesenjangan antara kaum juga terus melebar. Bagi negara untuk pastikan ia mampan, aman, terjamin dan terpelihara hal ini harus ditangani dan cuba dikurangkan,” tegas beliau.

Sementara itu Anwar berkata, agenda pemerkasaan bumiputera wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama dan diagihkan kepada tiga isbat.

Isbat Pertama: Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara yang melibatkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar.

“Di bawah isbat ini, saya berharap agar golongan bumiputera dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan,” kata beliau.

Isbat Kedua: Memperkukuh Kerukunan Tatakelola dan Institusi yang memberi penekanan kepada penghayatan dan falsafah bumiputera, pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang perlu diberi tumpuan khusus.

Isbat Ketiga: Menegakkan Keadilan Sosial yang memberi tumpuan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial. – MalaysiaGazette