Antara golongan muda di Selayang Baru dan Selayang Indah terlibat dalam Program Ibadah Korban Perdana Amanah Selayang di sini hari ini.

SELAYANG – Sudah tiba masanya golongan muda cagna dan mengambil alih bidang penyembelihan haiwan ternakan daripada orang lama yang berpengalaman.

Setiausaha Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia (PPTH) Wilayah Persekutuan, Muhammad Mukmin Nusril berkata, ketika ini tidak ramai anak muda memiliki kemahiran dan keberanian bagi menyempurnakan urusan sembelihan terutama ibadah korban serta akikah.

Dia yang berusia 22 tahun menambah, untuk peringkat awal, golongan muda boleh sahaja memegang tali lembu dan pada akhirnya mereka mampu menjadi penyembelih yang tahu proses untuk menghalalkan makanan akan datang.

“Alhamdulilah anak muda di sini amat menggalakkan dan kita lihat di belakang ini, semua tenaga mereka dari sebulan sebelum program dan sehinggalah pada hari kejadian, semua anak muda lakukan.

“Saya juga bersyukur, kita dapat mengikuti segala prosedur yang dituntut oleh syarak, walaupun tidak semua tapi dapat meminimakan risiko kesakitan haiwan korban itu,” katanya pada pemberita.

Setiausaha Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Muhammad Mukmin Nusril.

Tambah beliau, antara cabaran masa kini untuk menarik anak muda menceburi bidang itu kerana persepsi kerja berat, kotor, panas,  faktor keberanian selain persepsi daripada golongan warga emas.

“Sekarang ini kita sebagai anak muda tentunya ada cabaran bila berdepan dengan otai ‘orang lama’ tapi inilah pembaharuan yang anak muda perlu bawa iaitu kita tidak menyeksa, memaki haiwan atau menarik ekor dan tidak menyembelih dalam empat kaki.

“Nabi menuntut kita untuk melakukan ihsan kepada haiwan korban dan memperelokkan cara membunuh iaitu menyembelih. Jadi kita buat sebaik mungkin, seihsannya, selemah-lembut kerana haiwan korban itu akhirnya kita makan dan menjadi darah daging kita,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 30 anak muda berusia antara 18 hingga 37 tahun dari Selayang Baru dan Selayang Indah terlibat dalam Program Ibadah Korban Perdana Amanah Selayang di sini hari ini.

Dedimuliadi Nusril, penyembelih usia muda

Sementara itu, menurut Dedimuliadi Nusril, 31, yang pertama kali terlibat dalam aktivti penyembelihan berasa gementar dengan pengalaman tersebut.

“Ya, alhamdulilah ini kali pertama saya lakukan ibadah korban iaitu penyembelihan. Rasa seronok sebab kita dapat tunaikan salah satu ibadah pada Hari Raya Korban ini.

“Kalau kata tidak gugup itu tipulahkan tapi kita sudah bersedia lebih awal menerusi pratikal yang dilakukan di dalam kursus penyembelihan haiwan ini.

“Masa praktikal mulanya memang takutlah, macam risau kena tendang dekat muka atau badan tapi bila sudah belajar cara pegang haiwan dengan betul, ia tidak susah sangat yang penting tawakal,” jelasnya selepas melakukan penyembelihan kambing dan lembu.

Dalam pada itu, Dedimuliadi juga menggesa anak-anak muda terutama golongan Gen-Z untuk mempelajari kursus bidang sembelihan ini tidak kira di masjid ataupun surau.

Ujarnya, ia berpotensi mengisi peluang pekerjaan kerana terdapat permintaan dalam industri halal di dalam dan luar negara selain menjadi perwaris di masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast