Subbarow menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape dan e-rokok dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan nisbah 15 pelajar perempuan di sekolah didapati ketagih nikotin akibat penggunaan vape atau e-rokok.

Ia berdasarkan tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati bilangan pengguna yang menghisap vape dan e-rokok meningkat sebanyak tiga kali ganda.

Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow berkata, guru disiplin beberapa sekolah  meluahkan rasa bimbang dengan peningkatan ketagihan nikotin dalam kalangan murid sekolah rendah serta menengah.

“Sejak Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan, CAP dapati produk vape lebih mudah diakses dan dijual seperti kek panas.

“Terdapat banyak kedai runcit menjual pelbagai jenis perisa cecair vape tidak jauh dari sekolah selain pembungkusan luar biasa untuk menarik semua peringkat umur.

“Jika kanak-kanak sekolah mempunyai akses kepada peranti vape, ini menunjukkan bahawa RUU itu tidak berkesan dan masalah tersebut juga sudah hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Subbarow, tiada seorang pun kanak-kanak sekolah yang tahu mengenai nikotin serta tidak tahu mereka mengambil bahan itu kerana percaya cecair berkenaan mengandungi perisa buah-buahan.

“Masalah ini wujud susulan pengecualian nikotin sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun pada Mac 2023 kerana ia bermakna cecair vape berasaskan nikotin adalah sama seperti produk pengguna biasa lain yang boleh dibeli dengan mudah tanpa preskripsi.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan lebih serius pertimbangkan untuk memasukkan semula nikotin ke dalam Akta Racun sekali gus menyelamat masa depan beribu-ribu pelajar sekolah.

“Kita mahu pelajar ke sekolah untuk belajar menjadi manusia lebih baik pada masa hadapan bukan untuk menjadi penagih nikotin disebabkan vape dan e-rokok,” katanya.

Sehubungan itu, CAP sekali lagi menyeru kerajaan memasukan semula apa yang sudah digugurkan daripada Generasi Penamat Rokok (GEG) ke dalam RUU sekarang dan mengembalikan nikotin ke dalam Akta Racun. – MalaysiaGazette