PUTRAJAYA – Seorang bekas penyelenggara stor yang membunuh kekasihnya dengan menjerut leher menggunakan kain tudung, terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu kepada penjara 30 tahun.
Permohonan Shahrul Nizam Mohd Shah untuk semakan semula hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dibenarkan oleh panel tiga hakim iaitu Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera hari ini.
Hakim Tengku Maimun yang membacakan keputusan penghakiman, mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 30 tahun.
Beliau memerintahkan Shahrul Nizam, 51, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 8 Okt 2008.
Peguam Subash Ramasamy yang mewakili Shahrul Nizam memohon mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun. Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi tidak membantah permohonan itu.
Lelaki itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor pada 2010 kerana membunuh Nurul Hazira Bharum, 26, yang juga rakan sekerjanya setelah mendapati mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, Selangor antara 9 pagi dan 10 pagi pada 7 Okt 2008.
Rayuan Shahrul Nizam ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2012 dan 2015.
Ketika membela diri, Shahrul Nizam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan bekas kerani itu mulanya merancang membunuh diri dengan meminum racun “seperti Romeo dan Juliet” dan mendakwa mangsa memaksanya meminum racun terlebih dahulu dan akibatnya, dia pengsan.
Shahrul Nizam berkata apabila sedar kembali, Nurul Hazira didapati sudah tidak bernyawa dan dia segera berlaki ke rumah jiran untuk mendapatkan pertolongan. Dakwanya, Nurul Hazira memberitahunya bahawa dia tidak mencintai lelaki yang meminangnya, oleh itu mangsa meminta Shahrul Nizam untuk menikahinya, namun dia memintanya bersabar kerana tidak mempunyai wang.
Laporan bedah siasat mendapati Nurul Hazira meninggal dunia kerana sesak nafas akibat cekikan dan tiada racun ditemukan di dalam tubuhnya. – BERNAMA
30 tahun kehidupan dia akan ditanggung dari duit pembayar cukai…terbaiklah