Pemborong Sayur Maman, Fong kelihatan memborong Sayur Maman di Kampung Geduk Sawah Tampin, Negeri Sembilan. Gambar hiasan.

SEBERANG PRAI – Cuaca panas telah membawa kepada hasil tuaian lumayan sayur-sayuran sehingga penawaran melebihi permintaan.

Guang Ming Daily melaporkan, permintaan sayur menurun selepas musim perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi cuaca yang baik pula menyebabkan lebihan tuaian sehingga berpuluh tan hasil sayur perlu dibuang setiap hari.

Seorang petani dari Cameron Highlands berkata, cuaca pada masa ini termasuk taburan hujan yang berkurangan adalah amat sesuai untuk tumbesaran sayur dedaun.

“Malangnya, permintaan tidaklah tinggi dan ini bermakna pekebun perlu membuang hasil yang berlebihan dan tidak terjual.

“Selain itu, sayur berlebihan ini juga didermakan kepada pusat kebajikan seperti rumah orang tua, syaratnya mereka perlu menyediakan pengangkutan untuk mengambil sayur sendiri,” katanya.

Kata petani itu lagi, walaupun sayur-sayuran Cameron Highlands juga dieksport ke Singapura, tetapi permintaan di negara jiran itu juga tidaklah tinggi pada masa ini.

Seorang pemborong sayur di Seberang Perai berkata, bok choy dan sawi hijau merupakan antara jenis sayur yang mengalami penurunan harga.

“Harga bok choy dan sawi hijau pernah seketika mencecah antara RM40 hingga RM50 untuk 10 kilogram semasa Tahun Baharu Cina, tetapi harganya telah jatuh kepada RM14 hingga RM15,” katanya.

Menurutnya, bayam dan kailan juga mengalami penurunan harga borong iaitu masing-masing daripada RM8 dan RM6 sekilogram pada Tahun Baharu Cina kepada RM3.50 dan RM3 sekilogram sekarang.

Katanya, harga borong untuk sayur kekacang seperti kacang panjang dan kacang bendi tidak menunjukkan perbezaan harga yang besar.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana sayur jenis kekacang tidak dapat tahan cuaca panas dan lebih mudah rosak, sekali gus tidak berlaku peningkatan penawaran yang jelas semasa musim panas.

“Untuk cili pula, harga telah turun daripada sekitar RM14 dan RM15 kepada RM11,” katanya. – MalaysiaGazette