Datuk Abdul Rashid Asari.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Asari, hari ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

“Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rashid dalam kenyataan berkata, beliau kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang.

Abdul Rashid merupakan wakil rakyat Bersatu pertama isytihar sokongan kepada kepimpinan parti lawan selepas Bersatu meminda Perlembagaan yang membolehkan wakil rakyat dilucutkan keahlian jika menyokong parti lawan.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan tersebut.

Sebelum ini enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette