KUALA LUMPUR – Helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, telah dibawa naik ke darat semalam

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, helikopter jenis AW139 dibawa naik ke darat dengan bantuan syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi berkenaan pada jam 12.15 tengah malam.

“Pesawat berkenaan kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu, empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan kini dilaporkan stabil dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helikopter AW139 milik Maritim yang melakukan pendaratan cemas di perairan Klang berjaya dikeluarkan ke darat tengah malam tadi.-Ihsan APMM

Menurut Hamid, kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agensi tersebut, semalam.

“Maritim Malaysia turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam,” ujarnya lagi.

Helikopter malang itu merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang diterima daripada kerajaan pada 2010.

Mencatat rekod hampir 5,000 jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op KudaLaut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima dan Op Redback.

Selain itu, helikopter berkenaan banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

Pesawat itu berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022, 3 batu nautika daripada lokasi insiden.

Helikopter itu merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu.

Selain kejayaan tersebut, sepanjang 14 tahun perkhidmatan ia turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara. – MalaysiaGazette