KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai dua projek bakal dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah bersifat ugutan kepada pengundi, kata Tan Sri Annuar Musa.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid dilihat menghina pengundi DUN Sungai Bakap yang mana seolah-olah tidak akan beri projek tertentu jika PH kalah di PRK berkenaan.
“Kenyataan sebegini adalah satu ugutan dan percubaan merasuah pengundi saat akhir secara langsung.
“Selepas ini akan ada ulasan mempertahan dan menyokong perbuatan seperti ini. Akhirnya ia dihalalkan dan jadi satu budaya pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Annuar mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bahawa dua projek tersebut adalah untuk mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah tamil di Sungai Bakap.
Pengumuman itu dibuat Ahmad Zahid pada Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, semalam.
Dalam kenyataan sama, Annuar berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi pelaksanaan projek dan dana awam dan langkah itu bukan bahan bagi tawar menawar dengan undi rakyat.
“Tolong bezakan antara dana awam milik rakyat dengan dana parti yang bertanding. Jelas kerajaan semakin jauh dari Reformasi, sebaliknya budaya dan integriti yang makin membusuk.
“Perbuatan seperti ini akan terus dilindungi dan tiada siapa pun akan bertindak. Maka budaya rasuah, zalim, kleptokrat, kakistokrat dan sikap memperlekeh rakyat dan ‘insulting their intelligence’ terus menjadi amalan dan membusung dalam kerajaan Madani,” katanya lagi.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin Joohari bakal berentap dengan lawannya, Abidin Ismail dari Pas yang juga bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff.
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Bakap. – MalaysiaGazette