Kilang Goodyear di Shah Alam, Selangor

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan Malaysia bukannya satu-satunya negara di mana syarikat pengeluar tayar global, Goodyear membuat keputusan untuk menutup operasinya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, ini kerana Goodyear turut melakukan penstrukturan semula dengan pemberhentian 1,200 pekerjanya di beberapa negara lain sebelum ini.

Malah kata beliau, laporan tahunan syarikat berkenaan juga turut menutup kilang di Ohio, Amerika Syarikat tahun lalu.

“Bila saya semak pagi tadi selepas berita ini keluar, rupanya Goodyear telah menutup kilang di Oakland, Ohio yang mempunyai 500 pekerja pada tahun 2023.

“Goodyear juga telah melakukan restructuring drive pada September 2023 untuk memotong 1,200 pekerjanya di Eropah timur, Afrika dan di Asia.

“Ini dilakukan kerana Goodyear tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain seperti Bridgestone,” katanya demikian ketika membahaskan usul junjung kasih ke atas Titah Diraja.

Beliau menjawab dakwaan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sebelum itu yang mengaitkan keputusan Goodyear menutup kilangnya di Shah Alam yang telah beroperasi lebih lima dekad sebagai satu lagi isyarat kemerosotan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap situasi ekonomi semasa negara.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Goodyear terpaksa menstruktur semula perniagaannya kerana kos yang tinggi dan memilih untuk memindahkan operasi ke negara seperti Vietnam.

Ini kerana kata beliau, negara berkenaan menawarkan kos buruh yang lebih murah.

Tegasnya, itu adalah faktanya dan adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan susulan keputusan syarikat tersebut.

Hari ini, Goodyear yang sudah lama bertapak di Malaysia dilapor akan menutup operasi kilangnya di Shah Alam, Selangor.

Menurut kenyataan dalaman yang tular di media sosial, penutupan kilang berkenaan bermula pada 30 Jun dan akan selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Keputusan itu akan memberi kesan kepada kira-kira 550 kakitangan.

Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madaran berkata, penutupan berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil dalam program transformasi, Goodyear Forward.

Katanya, langkah yang diambil bertujuan mengoptimumkan operasi syarikat berkenaan ke arah mencapai pengurangan kos operasi sebanyak AS$1 bilion menjelang 2025.

Selain itu, ia juga bagi memastikan Goodyear kekal sebagai antara jenama pengeluar tayar utama dunia.

Penjualan produk Goodyear di Malaysia bermula pada 1929 melalui pejabat Goodyear Sales Company yang ditubuhkan di Singapura, manakala kilang di Shah Alam ditubuhkan pada 1972.

Goodyear juga menjadi jenama tayar yang dipasang pada kereta keluaran tempatan pertama Malaysia, Proton Saga pada 1985. – MalaysiaGazette