Anggota bomba menjumpai mayat lelaki OKU yang lemas dibawa arus di Taman Wawasan, Kulai, semalam- Ihsan Gambar: Orang Kulai

KULAI – Mayat seorang remaja lelaki kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas terjatuh ketika bermain air di longkang di Jalan Taman Wawasan, Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima panggilan melalui MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan pada jam 9.40 malam Selasa lalu. 

“Beliau memaklumkan anaknya telah hilang dibawa arus deras ketika bermain di parit ketika waktu hujan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Seng Lee, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa bersama rakannya telah bermain dalam parit yang deras ketika cuaca hujan.

“Setelah menerima maklumat, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Namun, operasi tersebut terpaksa dihentikan pada jam 2 pagi, Rabu kerana keadaan cuaca yang buruk,” jelasnya.

Tambah beliau, kira-kira jam 9.00 pagi, operasi itu diteruskan semula dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan orang awam.

Katanya, mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan parit di Taman Saujana Impian kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Beliau memberitahu, mayat mangsa telah disahkan keluarga, manakala siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette