Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2024 berjumlah setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BKKA itu akan dibayar pada 15 Mac ini dan anggaran  peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.44 juta daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah meluluskan BKKA untuk tahun ini sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

“Pemberian BKKA itu adalah tanda apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang yang merupakan nadi kerajaan negeri.

“BKKA itu turut dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, BKKA sebanyak RM300 turut diberikan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

“BKKA itu turut akan dibayar kepada kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) selain guru tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette