Jantung ganja kini mendapat permintaan tinggi antara yang dirampas dalam serbuan tersebut.

GEORGE TOWN – Empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Tanjung Tokong dan pusat bandar di sini, semalam.

Tangkapan empat suspek berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun itu membawa kepada rampasan 21 kilogram (kg) ganja termasuk ‘jantung ganja’ yang keseluruhannya bernilai RM66,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek lelaki yang merupakan ‘runner’ kepada sindiket berkenaan.

Kok Chin (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, mereka ditahan di kawasan parkir kereta di George Town sebelum pihak polis menemui kotak yang mengandungi lima ketulan mampat ganja dengan anggaran berat lima kg.

“Susulan itu, kita membuat serbuan kedua dibuat di Tanjung Tokong di sini, sebelum berjaya menahan seorang lelaki yang juga ketua sindiket terbabit.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di kawasan sama dan menahan isterinya selain merampas 16 kg ganja.

“Turut dirampas ialah pucuk ganja yang dikenali sebagai jantung ganja dan permintaannya adalah lebih tinggi serta lebih mahal daripada ganja biasa di pasaran iaitu sekitar RM5,000 sekilogram namun pengeluarannya terhad,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kok Chin menunjukkan ganja yang dirampas pihaknya.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak September tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek didapati positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Nilai eseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bernilai RM78,500.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini dan Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette