KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pembatalan saman difailkan Tan Sri Halim Saad terhadap tiga pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia hari ini.
Halim bertindak menyaman mereka dengan mendakwa beliau telah mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) kira-kira 23 tahun lalu.
Hari ini, Pesuruhjaya Kehahakiman, Dr Suzana Muhamad telah membenarkan permohonan pembatalan itu selepas mendapati sebelum ini kes saman Halim Saad terhadap Khazanah Nasional Berhad berhubung perkara sama telah ditolak mahkamah pada 2013.
Ketika itu juga, Halim menyaman Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia pada tahun 2013.
Kata Suzana, permohonan semula antara pihak sama apabila mahkamah sudah memutuskan dengan merit pada masa itu tidak terpakai.
”Ini adalah peristiwa pada 2001, lebih 20 tahun. Selepas itu ada tuntutan di mahkamah lain pada 2013 dalam tempoh 10 tahun.
”Mahkamah tolak permohonan saman ini,” katanya.
Dalam pada itu, Halim telah diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000.
Berdasarkan pernyataan tuntutan dan writ saman difailkan pada 2 Ogos tahun lepas, Halim mendakwa beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.
Beliau mendakwa diarahkan Tun Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.
Halim mendakwa Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.
Ketika itu beliau memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.
Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan pula menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.
“Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003,” kata mereka. – MalaysiaGazette















