Aiman Athirah (dua dari kiri) serta Nor Hisham menyampaikan bayaran pampasan kerajaan, faedah kumpulan wang kebajikan bomba dan faedah takaful berkelompok sepenuh masa JBPM kepada balu Allahyarham, Jamaliah (kiri) di Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Laporan penuh siasatan berhubung tragedi seorang anggota bomba lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, di sini, sudah di peringkat akhir.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menjangkakan laporan penuh berkaitan siasatan itu akan siap dua minggu lagi.

Jelas beliau, siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa khas lebih tertumpu kepada prosedur operasi standard (SOP) menyelenggara bot.

Nor Hisham.

“Kita jangka dalam masa dua minggu siasatan akan dilengkapkan sebelum rumuskan dapatan keseluruhan insiden yang berlaku termasuk melihat apakah kaedah yang perlu ditambah baik pada SOP sedia ada.

“Selain itu, kita juga telah merekodkan keterangan dua orang saksi yang bersama mangsa serta di lokasi kejadian untuk melihat sebarang kemungkinan yang berlaku, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Izwan Ilias di Pekan Darat di sini, hari ini.

Terdahulu, Nor Hisham mengiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan bayaran pampasan kerajaan, faedah kumpulan wang kebajikan bomba dan faedah takaful berkelompok sepenuh masa JBPM kepada balu Allahyarham, Jamaliah Abd Majid berjumlah RM272,923.07.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Zakaria Taib.

Aiman Athirah berbual dengan balu Allahyarham.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, kebajikan dan pendidikan anak-anak Allahyarham pastinya akan diberi keutamaan melalui bantuan yang disediakan kerajaan sama ada melalui JBPM dan JKM.

“Di peringkat JKM, kesemua anak-anak allahyarham layak mendapat bantuan bulanan sehingga mereka berumur 18 tahun dan pastinya kita akan pastikan kesemua mereka mendapat pendidikan sempurna.

“InsyaAllah, melalui perbincangan yang telah dilakukan bersama agensi sama ada di peringkat pusat dan negeri, kita akan pastikan keluarga allahyarham mendapatkan bantuan sewajarnya sedikit masa lagi,”katanya.

Media pada 22 Februari lalu melaporkan Mohd Izwan, 42, dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Perai dekat sini, selepas selesai melakukan tugas memeriksa bot pada jam 10.10 malam.

Mayat mangsa ditemui asukan mencari dan menyelamat selepas 19 jam pencarian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast