Lai Yong Keong didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu berhubung pembelian diesel pada tahun lalu.

BUTTERWORTH –  Pengarah sebuah syarikat pemborong diesel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan maklumat palsu berhubung pembelian diesel pada tahun lalu.

Tertuduh, Lai Yong Keong, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, pengarah syarikat terbabit yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didapati telah memberikan maklumat palsu dalam borang arahan bagi sembilan invois pembelian diesel bertarikh 26 hingga 28 Disember 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Februari tahun lalu pukul 10.30 pagi di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya dalam Daerah Seberang Perai Tengah.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Manakala dalam pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh yang mewakili syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd  selaku pemegang lesen borong barang kawalan berjadual minyak diesel turut enggan mengemukakan dokumen penyata kewangan bank syarikat terbabit.

Tiga kesalahan itu dilakukan antara 17 Februari hingga 10 Mac 2023 di lokasi sama.

Bagi kesemua empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Noh Alimah Mohd Sanusi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.

Ketika prosiding, Syazwani menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan agar tertuduh lapor diri ke Pejabat KPDN Pulau Pinang setiap bulan serta dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM120,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun Muhamad Asri memohon agar mahkamah mengenakan jaminan minima susulan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang kes disiasat sejak tahun lalu selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 bagi kesemua empat pertuduhan dan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan oleh Syazwani.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Profusion Petroleum Sdn Bhd turut didakwa melakukan  kesalahan sama di lokasi dan masa yang sama berdasarkan empat lagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Yong Keong yang mewakili syarikat itu turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Noor Aini.

Syarikat yang diwakili tertuduh terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 22 (4) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disifatkan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Syarikat itu berdepan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi setiap pertuduhan dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang tidak melebihi RM5 juta jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette