PUTRAJAYA – Semua surau dan masjid di seluruh negara disaran menganjurkan program-program keilmuan kepada masyarakat bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dengan program-program seumpama itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada umat Islam pada bulan Ramadan sekali gus dapat menangkis anasir-anasir ajaran agama yang terpesong.
“Kita bimbang ada dalam kalangan masyarakat Islam kita yang mungkin cetek ilmu agamanya akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat seumpama itu.
“Jadi dengan adanya program pada bulan Ramadan berkenaan, masyarakat Islam berpeluang untuk belajar dan mendapat ilmu pengetahuan yang sebenar daripada program-program yang diaturkan oleh agensi-agensi agama,” kata kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan 2024 di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Jelas Mohd Na’im, beliau juga mahu pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) menyelaras program-program kerohanian dan kemasyarakatan berkenaan bersama para pegawai kader JAKIM di pelbagai kementerian dan Jabatan.
“Kita mesti memakmurkan program Ramadan di seluruh kementerian dan jabatan dengan kerjasama strategik berkenaan.
“Perkara ini amat penting supaya kita semua dapat menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Madrasah Ramadan,” ujarnya.
Katanya, JAKIM bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu menggerakkan kempen Ihya Ramadan melalui media sosial termasuk program di televisyen dan radio.
“Kita mahu kempen ini disebar luas agar ia dapat melebarkan manfaat kepada masyarakat untuk membentuk Bi’ah
Solehah.
“Dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan berkenaan, diharapkan ia dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette