Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dataran Kota Tampan, di sini, pada Sabtu. Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

LENGGONG – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan satu mesyuarat bersama tiga kementerian lain bagi membincangkan semua aspek berkaitan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selain NRES, tiga kementerian tersebut adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Ekonomi.

Menurutnya, pertemuan keempat-empat kementerian pada Mesyuarat Cadangan Model NR-REE itu akan membincangkan spektrum dalam industri NR-REE dari huluan ke hiliran termasuk cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Dalam dua minggu lagi kita (NRES) akan mengadakan pertemuan dengan MITI, MOSTI dan Kementerian Ekonomi untuk membincangkan model perniagaan dari huluan sehingga hiliran mengenai perlombongan NR-REE.

“Kita akan bergerak mengikut kerangka perlembagaan sedia ada tetapi itu tidak menghalang kita sekiranya ada cadangan yang wujud untuk rujuk GLC dan sebagainya.

“Justeru, kita sedang tengok cara terbaik supaya kita dapat merancakkan pembangunan industri NR-REE,” katanya .

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dataran Kota Tampan, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, industri NR-REE tidak boleh dibiarkan kepada pasaran semata-mata kerana ia adalah satu bidang ‘niche’ dan strategik yang memerlukan peranan daripada kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

“Justeru, kita kembali semula kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan berperanan dari segi eksport dan nilai tambah dalam industri tetapi dalam soal mineral dan perkara berkaitan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Itu memang sedia ada dalam Akta Pembangunan Mineral 1994 dan kerangka perlembagaan yang ada seiring dengan perkara berkaitan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan disyor menubuhkan GLC untuk meneroka industri berkaitan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Perkara itu dibangkitkan, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon yang mencadangkan supaya GLC berkenaan menjadi pengawal selia bagi mengelakkan eksploitasi industri berkenaan. – MalaysiaGazette